Sunday 16 October 2011

ALLAh Memberikan Khabar Gembira


ALLAh Memberikan Khabar Gembira

by Seri Kandi Islam on Friday, 04 February 2011 at 08:08
Bismillahirrahmaanirrahiim.

Manusia yakin jika berbuat kebaikan, maka ganjarannya juga kebaikan. Jika berbuat jahat, maka balasannya juga sesuatu yang jahat. Manusia beriman dengan perkara itu, kan? Saya pun. Saya yakin, kalau saya buat jahat dan meninggalkan suruhan ALLAh, dan mengerjakan larangan ALLAh, sudah tentu saya akan menghadapi kehidupan yang rumit dan menyeksakan batin. Anda mahu begitu? Sudah semestinya tidak, kan.
Dan setiap dari kita juga perlu yakin dan yakin serta yakin bahawa ALLAh akan memberikan ganjaran yang setimpal malah istimewa apabila kita memikul beban dakwah untuk menyebarkan Islam kepada orang lain.
Untuk orang yang berusaha, ALLAh telah janjikan ganjaran! ALLAh sampaikan khabar gembira.

Khabar Gembira Untuk Manusia Yang Beriman
ALLAh menjanjikan syurga dengan segala kenikmatan yang tidak dapat dibayangkan oleh manusia seperti kita ini. Anda bayangkanlah syurga itu secantik mana, tidak akan dapat menandingi keindahan syurga yang sebenar.
Dan itu, bagi hamba yang menyeru kepada ma’aruf dan mencegah yang mungkar.
“Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman dan berbuat baik bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai didalamnya. Setiap daripada mereka diberikan rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu…” – al Baqarah : 25
Subhanallah. Indahnya. Malah ALLAh sudah berjanji kepada manusia seperti di atas. Anda tidak tersenyumkah membaca ayat ini? Anda tidak inginkah kenikmatan itu semua? MashaAllah.
Memang tidak senang untuk menjadi baik. Dan untuk menjadi baik memang memerlukan mujahadah atau usaha dan komitmen untuk mencuba menyenaraikan diri dikalangan orang-orang yang telah ALLAh janjikan. Dan sudah semestinya, untuk mendapatkan nikmat yang sangat besar, maka dugaannya itu pun besar juga.
Lumrah hidup memang begitu.
Sungguh, memang tidak mudah. Tapi janji ALLAh itu juga benar. Dan kita, sebagai hamba harus yakin.. Bahawa, pertolongan ALLAh akan tiba walaupun dalam kesengsaraan. Rahmat ALLAh akan melimpahi hidup manusia jika manusia itu sabar, berusaha dan bertawakkal.
“Bagi mereka yang banyak mengingati ALLAh lelaki atau perempuan, ALLAh sediakan bagi mereka pengampunan dan pahala yang besar.” – al Ahzab : 35
“Sesungguhnya ALLAh memasukkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh ke dalam syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Sesungguhnya ALLAh melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki.” – al Hajj : 14
Subhanallah! Awesome!
ALLAh Maha Adil. Kerana itu, ALLAh memberikan ganjaran yang tiada bandingan atas kesengsaraan seorang hamba ALLAh yang istiqomah di atas jalan-Nya. Kenikmatan dan kesenangan yang serba lengkap, rohani dan jasmani. Di dalam syurga, tiadalah kedukaan dan kesengsaraan, semuanya indah belaka.
Jangan Terpedaya Dengan Janji Syaitan
Dimana ada perjuangan menyeru kepada jalan ALLAh, maka disitu akan ada syaitan yang berusah habis-habisan untuk membuat usaha itu terbengkalai. Malah, lebih dari itu, syaitan akan membuat manusia untuk tersingkir dari jalan ALLAh. Masih ingatkan bagaimana syaitan telah mengakibatkan Nabi Adam dan Hawa dibuang dari syurga? Semuanya kerana hasutan syaitan untuk melihat kemusnahan hidup manusia yang berusaha berjalan menuju ALLAh.
Anda, orang-orang beriman, jangan mudah tertipu dan terpedaya dengan janji-janji syaitan. Godaannya ada dalam setiap kehidupan. Sebab itu, setiap tindakan harus berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah, kerana didalamnya terdapat senjata untuk mematahkan usaha syaitan.
Iblis dan keturunannya akan berusaha menyesatkan ummat manusia. Sumpah iblis itu juga dicatat dalam al-Quran.
“Berkatalah iblis, ‘Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar (akan menghalang) mereka dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari kanan dan kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyak mereka bersyukur (taat).’ ALLAh berfirman, ‘Keluarlah kau dari syurga itu sebagai balasan orang yang terhina lagi terkikir. Sesungguhnya barangsiapa diantara mereka mengikuti kamu, benar-benar Aku akan mengisi neraka jahannam dengan kamu semuanya.’” – al A’raf : 16-18
Jelas kan? Iblis sungguh gigih. Tidak akan berhenti sehingga menjelangnya kiamat. Saya doa, moga kita terhindar daripada menjadi pengikut Iblis yang ALLAh telah janjikan neraka jahannam.
Lagi,
ALLAh berfirman :
“Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu membuat kejahatan (kikir) sedangkan ALLAh menjanjikan untukmu keampunan dari-Nya. Dan ALLAh Maha Luas Kurnianya lagi Maha Mengetahui.” – al Baqarah : 268
Astaghfirullah! Wal iyya dzubillah!
Mari Tetapkan Langkah
Mari, taati ALLAh dan jauhi larangan-Nya. Kita memang bukan sempurna. Kita memang bukan maksum. Dan kita memang bukan alim warak ulama’. Tapi kita semua punya satu senjata untuk mencalonkan diri menjadi orang yang ALLAh berikan khabar gembira itu.
Usaha! Ya, usaha.
Kita masih diberikan oleh ALLAh peluang untuk berusaha memperbaiki diri dan menjadi seorang hamba yang ALLAh pandang dengan pandangan rahmat. Biarlah kita tahu akan ada dugaan. Kita boleh menanamkan keyakinan bahawa ALLAh memang sentiasa bersama kita. Dan akan sentiasa bersama kita!
Dan kita berusaha untuk meminimunkan peluang syaitan untuk menggoda kita. Bila syaitan tidak dapat menggoda seseorang, maka dia akan kegelisahan dan buntu. Maka, mari, biarkan dia gelisah dengan patuhnya kita kepada ALLAh!
Terlambat? Jangan cakap terlambat. Kan masih ada PELUANG dan USAHA? Maka, jom!
Saya ini, juga masih sedang berusaha. Berusaha dan berusaha. Pandangan manusia yang hanya mementingkan dunia dan menolak agama ke tepi, janganlah sedikitpun kita hairan pada-Nya. Kerana di atas sana, ada yang memandang dengan pandangan rahmat. InshaAllah. Senyum.
Go Muslim Go!
Semoga ALLAh merahmati.
 ·  · Share

No comments:

Post a Comment