Sunday 16 October 2011

Mahasiswa, Revolusi Untuk Kepemimpinan Mendatang


Mahasiswa, Revolusi Untuk Kepemimpinan Mendatang

by Sekadar Perkongsian on Monday, 17 January 2011 at 01:56
Mahasiswa, Revolusi Untuk Kepemimpinan Mendatang

Sudah lama jari ini menggigil kerana tidak dapat menekan papan kekunci laptop untuk mencurahkan idea-idea untuk kita sama-sama berkongsi atas dasar komitmen yang perlu ditumpukan sepenuhnya untuk peperiksaan.

Salam sayang kepada seluruh pemuda pemudi harapan bangsa, yang bakal mewacanakan kepemimpinan masa sekarang untuk masa depan.Alhamdulillah, dalam kesempatan masa yang lapang yang diberikan oleh Allah ini, eloklah jikalau kita memulakan perbincangan mengenai satu topik yang cukup relevan untuk dikaitkan dengan status kita sebagai mahasiswa, iaitu “Siapakah Mahasiswa dari sudut Kepemimpinan Negara?” Sebelum kita memulakan perbincangan mengenai topik ini, seeloknya kita perlu membuang jauh-jauh sebarang anasir mahupun doktrin agar penulisan artikel ini tidak disalahtafsirkan berpihak kepada mana-mana parti, tetapi, sebaliknya, biarlah kesudahan pembacaan artikel ini akan memberikan satu inspirasi kepada kita untuk memahami apakah yang dinamakan sebagai politik dalam Negara.

Saya cukup optimis bahawa para pembaca sudah tahu siapakah John Tylor Hammons.Tetapi untuk lebih menguatkan fakta, eloklah jikalau saya memperincikan sedikit mengenai beliau. Satu kepelikan mengenai beliau (komparatif dengan Malaysia), dalam usia 19 tahun telah dilantik menjadi seorang Datuk Bandar di Muskoge di Oklahama! Beliau merupakan seorang mahasiswa yang cukup berdedikasi. Sebagai bukti, apabila ditanyakan kepada beliau mengenai perjalanan hidupnya sebagai seorang Datuk Bandar ditambah pula dengan bebanan pembelajaran akademik, satu jawapan yang cukup mudah dijawab oleh beliau “Tiada pemisahan antara dunia akademik dan politik kemahasiswaan.” Itu mahasiswa negara orang, kita?

Ramai daripada kita menganggap zaman kemahasiswaan adalah satu zaman untuk menumpukan sepenuhnya perhatian kepada pelajaran semata-mata tanpa ada pembabitan sedikitpun dalam persatuan mahupun politik kampus. Kita sengaja menjumudkan diri kita dalam hal ini. Benar, kita dapat lahirkan ramai graduan, tetapi, berapa banyak graduan yang kita lahirkan itu mempunyai kualiti yang benar-benar terjamin terutama dari sudut ilmu bantu (soft skill)? Contohnya, berapa ramai doktor keluar dari universiti dengan segulung ijazah tetapi apabila berhadapan dengan situasi sebenar, dikatakan doktor ini biadab, tak pernah senyum, pendiam dan tak mesra pesakit? Kita kena sedar ilmu bantu tidak akan didapati dalam kelas pengajian tetapi sebaliknya didapati melalui kegiatan berpersatuan dan berpolitik. Apa itu ilmu bantu? Ilmu Bantu ialah ilmu yang berkaitan dengan kemahiran insaniah merangkumi kemahiran komunikasi, pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran berpasukan, kemahiran pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, etika dan moral dan kemahiran kepemimpinan. Kemahiran-kemahiran inilah nanti yang menjadi kulit untuk isi buah-buah ilmu yang kita pelajari.

Seterusnya, elok juga jikalau kita memerhati peristiwa-peristiwa global untuk menjadi satu suntikan motivasi kepada kita. Kenal Mahmud Ahmadinejad? Beliau merupakan antara tokoh pemimpin yang lahir saat zaman Revolusi Mahasiswa Iran berlaku bagi meruntuhkan empayar kediktatoran Shah Iran untuk menyediakan masyarakat kepada sebuah masyarakat yang harmonis. Kesannya sekarang, beliau merupakan seorang presiden yang bersuara lantang, menjadi seolah-olah seekor singa yang bisa menerkam sesiapa yang cuba mengacah Iran.

Begitu juga tentang Revolusi Afghanistan. Mahasiswalah yang memainkan peranan yang cukup besar menghambat Rusia keluar dari bumi Afghanistan pada tahun 1989 iaitu 10 tahun selepas pencerobohan negara komunis itu. Gulbuddin Hekmatyar, seorang pemimpin kampus Universiti Kabul menyeru peperangan jihad kepada teman-teman kampusnya. Ini, suara dan tindakan mahasiswa luar negara, kita? Golongan mahasiswa yang didodoikan dengan hedonisme yang melampau, itulah mahasiswa kita.

Mungkin ada yang tak berpuas hati sekiranya negara yang saya tonjolkan hanyalah negara Arab. Baik, kita ambil contoh yang lain. Revolusi Thai pada 24 Jun 1932 telah menyaksikan kebangkitan anak muda membuka dimensi pemikiran yang lebih luas.
Bayangkan, golongan mahasiswa ini mampu melakukan satu revolusi menggelegak tanpa pertumpahan darah dengan anak-anak muda menjadi kerajaan sementara bagi meletakkan Thai sebagai Negara baru yang menggunakan konsep raja berpelembagaan ala Barat. Ini baru betul mahasiswa! Mahasiswa sebagai orang yang memberi nafas baru untuk kerajaan.

Mungkin kita tidak perlu radikal berbanding mahasiswa negara lain, kerana situasi negara kita yang mengamalkan DEMOKRASI. Apa yang perlu, kita hanya perlu memastikan sistem demokrasi ini benar-benar telus tanpa ada pengaruh kepartian kerana perjuangan kita, mahasiswa bukan atas dasar fanatik, tetapi atas dasar faham dan kebenaran. Kita ingin lihat mahasiswa yang berbeza bahasanya mampu disatukan di bawah satu kebenaran kerana mereka ini sebagaimana disebut oleh Dr Hactor sebagai OPINION MAKER FOR FUTURE. Hidupkan suara mahasiswa!!
 ·  · Share

No comments:

Post a Comment