Wednesday 19 October 2011

taubat sambal belacan


taubat sambal belacan

by Nur Kasih on Saturday, 25 September 2010 at 09:03
       "hai, habis sambal belacan?? baru sahaja emak buatkan semalam!"  kedengaran suara emak di dapur semasa membuka peti ais. kami hanya tersenyum.

        saya dan adik beradik memang hantu sambal belacan. kasihan emak, setiap kali menumbuk sambal belacan, mahu sepuluh biji cili merah yang diguna. itu pun hanya bertahan sehari dua. makan tangah hari kene bersambal, makan malam kene bersambal, malah semasa sarapan pagi juga mesti kena bersambal belacan!

       oleh kerana abah datang dari latar belakang keluarga bendang, maka tabiat makan nasi untuk sarapan pagi sudah menjadi kebiasaan kami semasa kecil. sedikit lauk2 baki semalam, telur goreng, timun dan sambal belacan sudah cukup untuk kami berselera makan.

       lucu memikirkan semasa saya bersekolah rendah,  pergi ke sekolah dengan tangan yang berbau sambal belacan kesan sarapan. lama juga saya mengambil masa untuk menukar cara bersarapan pagi.sehingga dewasa, saya tidak berminat untuk menjamah mi goreng, nasi lemak, apatah lagi kuih muih. hanya nasi putih dan sambal belacan sahaja yang sesuai.

      sehingga hari ini, saya masih terus manggemari sambal-sambal ini.
malah pada keluarga abang saya juga, nampaknya mereka juga masih komited dengan sambal belacan. paling kurang pun cili padi di patah untuk dimakan dengan kepedasan menggantikan ketiadaan sambal.

      IBRAH SAMBAL BELACAN

     "isk isk pedasnya...! taubat aku tak mahu makan sambal belacan lagi!"  seorang teman dari kelantan meneguk bergelas-gelas air kerana cuba menghilangkan kepedasan sambal belacan saya.

      sudah dipesan, jika mahu hilangkan kepedasan itu, elok minum air suam berbanding air sejuk. tetapi beliau enggan mengikut petua saya.

     taubat tidak mahu lagi menjamah sambal belacan. namun disebabkan oleh kesedapannya, nanti jamah lagi. akhirnya timbul istilah TAUBAT SAMBAL BELACAN.

     "dan aku bersumpah dengan (nafsu lawwaamah) bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati."
(al-qiyaamah: 2)

     nafsu lawwaamah itu adalah nafsu manusia yang sering menyesal. dirinya sedar tentang buruknya dosa dan beratnya murka Allah terhadapnya, tetapi sesalan itu tidak kuat untuk mencegah dirinya daripada mengulangi kesalahan yang sama.

    taubat lawwaamah itu adalah taubat sambal belacan. sudah tahu pedas dan derita akibat menjamah, masih dilayan kerana sedapnya. justeru, bermujahadahlah sekalian kita yang bernafsu lawwaamah, agar beransur baik menuju mulhamah dan seterusnya mutmainnah.

     jangan kecewa daripada bertaubat, kerana mungkin kamu mati dalam perjalanan menuju taubat yang seterusnya. :-)

dipetik dari buku murabbi cinta
hasil nukilan ustaz hasrizal abdul jamil...

















No comments:

Post a Comment