Wednesday 19 October 2011

BUKU MENERJANG BADAI : 60 TAHUN MEMPERSADA PERJUANGAN


BUKU MENERJANG BADAI : 60 TAHUN MEMPERSADA PERJUANGAN

by Nasrudin Hassan on Tuesday, 22 February 2011 at 12:41
TRIBUT BUAT SEMUA PEMUDA PAS YANG MEMBENTENGI WADAH INI

1. Buku ini akan menjernihkan tanggapan generasi ‘Y’ terhadap gerakan Islam yang telah 60 tahun mempersada perjuangan Islam di negara ini, menerjang amukan badai yang berlapis-lapis di sepanjang keberadaannya di pentas dakwah dan siasah.

2. PAS mempunyai sejarahnya yang tersendiri, tersembul keluar dari rahim ibunya saat perlawanan menentang penjajah. Hizbul Muslimin sebagai gerakan Islam temporari yang pertama di Tanah Melayu telah diharamkan oleh British pada tahun 1948 yang menyaksikan 300 orang aktivisnya digiring ke penjara British. Pengharaman Hizbul Muslimin telah menyebabkan vakum yang besar dalam pergerakan politik Islam di Tanah Melayu.

3. Segelintir ulama bersama dalam UMNO untuk menggerakkan biro agama. Kelencongan UMNO daripada syariat dan nuansa agama menyebabkan ulama ini keluar daripada UMNO dan menubuhkan PAS pada tahun 1951 serta bergabung dengan alumni Hizbul Muslimin. PAS dalam menggerakkan bahteranya telah berhadapan dengan ujian demi ujian bersilih ganti dan bertindan-tindih.

4. Buku ini juga diluncurkan untuk merancakkan medan perbincangan yang sihat, menyegarkan budaya intelektual, serta berdebat dengan sumur akal jernih yang jauh dari sentimen melulu dan emosi yang meledak. Percayalah bahawa alaf baru ini adalah milenium baru di mana maklumat tidak boleh lagi disembunyikan dalam 'tempayan emas'. Langit terbuka telah memuntahkan jutaan maklumat di hujung jari.

5. Generasi ‘Y’ yang melatari fenomena dunia langit terbuka ini sudah tidak mampu untuk disuap dengan maklumat yang bersifat sehala. Kelompok ini mesti dimenangi oleh gerakan Islam dengan maklumat yang telus tetapi beradab. Mereka tidak boleh dibiarkan meraba-raba dan membuat telahan tentang cermin perjalanan gerakan Islam.

6. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang berlapang dada dengan perbincangan dan terus memberi sumbang saran yang terbaik untuk meranduk medan amal Islami dan memberikan sesuatu kepada peradaban bangsa ini. Tidak lupa kepada teman-teman aktivis muda dakwah yang sentiasa mengingatkan tentang kebertanggungjawaban kepada apa yang ditulis.

7. Muhasabah dan mencerminkan diri adalah jalan yang terbaik untuk terus istiqamah di atas jalan juang dan simbolik sebuah persahabatan yang jujur. Jutaan penghargaan buat teman-teman pemuda yang menyokong dan mendokong penghasilan buku ini.

8. Sebahagian mereka adalah wira yang tak didendang yang bekerja siang dan malam bagi memastikan jemaah tercinta ini berada dalam manhaj perjuangan Islam, menjadi benteng kepada perjuangan, dan menjadi anak panah yang siap diluncurkan ke mana sahaja dari busur.

Kepada pembaca sekalian, selamat menatap buku ini dan kongsikan juga pandangan anda. Selamat membaca!

Penulis : Ustaz Riduan Mohamad Nor (Exco Dewan Pemuda PAS Pusat)
Terbitan : Jundi Resources Cetakan : Januari 2011 Jumlah halaman : 219 (termasuk Prolog)
Buku ini dilancarkan semasa Himpunan 30,000 Pemuda PAS (H30K) di Kompleks PAS Kedah, Batu 9, Simpang Empat, Kedah pada 19 Februari 2011 (Sabtu).
Untuk pembelian/tempahan buku melalui pos, sila hubungi : 019 – 253 4953.
Harga senaskhah : RM20 (Semenanjung) / RM22 (Sabah/Sarawak) berserta kos penghantaran RM3.

No comments:

Post a Comment