Wednesday 19 October 2011

SINAR KEMBALI BERLABUH....


SINAR KEMBALI BERLABUH....

by Misses Najiha on Tuesday, 22 February 2011 at 16:19
Mengumpat, menfitnah, merampas hak orang lain dengan cara dosa dan hina, membisikkan perkataan dusta, memperturutkan hawa nafsu tanpa batas dan melakukan lain-lain perbuatan keji dan tercela tidak sepatutnya menjadi lumrah kehidupan seorang muslim. Setiap muslim harus mengekang diri dari perbuatan keji dan hina demi memenuhi pesanan Allah Taala yang bermaksud:

“ Dan tinggalkanlah dosa yang terlihat ataupun yang tersembunyi. Sungguh, orang-orang yang mengerjakan (perbuatan) dosa kelak akan diberi balasan sesuai dengan apa yang mereka kerjakan”(6:120)

Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam telah memberikan formula bagaimana mengenali dosa agar ummatnya sentiasa berwaspada dalam melayari kehidupan.

Dari al-Nawwas bin Siman radiyallahu ‘anh dari Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Kebaikan itu ialah elok budi pekerti. Dan Dosa itu ialah apa yang bergetar dalam diri engkau dan engkau benci dilihat oleh manusia terhadapnya. (HR Muslim)

Umpama memandu kenderaan dengan berhati-hati untuk mengelakkan berlakunya kemalangan, begitulah seharusnya manusia berhati-hati mengawasi dirinya dalam melayari kehidupan untuk mengelakkan berlakunya perbuatan dosa.

“Sungguh, orang-orang yang kerana takut (azab) Tuhannya, mereka sangat berhati-hati” (23:57)

Akan tetapi, perlu diingat walau segigih mana usaha mengawal diri dari melakukan dosa, manusia tetap tidak terlepas dari melakukannya. Yang membezakan antara individu yang telah tersilap langkahnya adalah bagaimana ia memandang perbuatan dosa dan bagaimana tindakan mereka setelah tersasar melakukan kesalahan. Dosa yang dilakukan akan terasa sungguh berat di hati orang yang menjaga keimanan mereka sekalipun dosa yang dilakukan tersebut adalah dosa kecil. Namun, bagi mereka yang tidak mempedulikan soal keimanan, dosa yang dilakukan sentiasa dipandang remeh sekalipun mereka melakukan dosa besar.

Sebaik-baik manusia yang berdosa adalah manusia yang bersegera kembali kepada Tuhannya dan segera bertaubat. Kadar kecepatan kembalinya manusia kepada Allah Taala adalah bergantung kepada sejauh mana akrabnya hubungan mereka kepada Tuhannya. Hamba yang beriman akan segera kembali kepada Tuhannya dan tidak akan membiarkan kesalahan-kesalahan mereka itu merungkai hubungan mereka dengan Allah Taala. Mereka juga menyedari suatu hakikat di mana walaubagaimana pun banyaknya kesalahan seseorang individu, selagi mana tidak mensyirikkanNya tidaklah menjadi rintangan untuk mendapat keampunan asalkan individu tersebut benar-benar insaf dan menyedari kesalahannya serta bersedia untuk membersihkannya dengan bertaubat dengan sungguh-sungguh. Allah Taala Yang Maha Pengampun memberi kesempatan seluas-luasnya kepada manusia untuk mendapatkan keampunanNya. Maka terserahlah kepada individu untuk menggunakan kesempatan itu dengan sebaik-baiknya demi kebahagian hidup yang abadi

Dari Anas radiyallahu ‘anh katanya: Aku dengar Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Allah telah berfirman: Hai Anak Adam! Sesungguhnya engkau, selama engkau berdoa dan berharap kepadaKu, Aku ampuni bagi engkau di atas dosa yang ada pada engkau dan Aku tidak peduli. Hai Anak Adam! Kalau telah sampai sekalian dosa engkau ke awan langit kemudian engkau memohon keampunanKu, nescaya aku ampuni bagi engkau. Hai Anak Adam! Sesungguhnya kalau engkau datang kepadaKu dengan kesalahan-kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemui Aku padahal tidak engkau sekutukan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku berikan kepada engkau keampunan dengan sepenuh bumi”. (HR Al-Tirmizi)

Tidakkah panggilan Allah Taala Yang bersifat Maha Pengampun ini menusuk ke dalam sanubari kita yang seringkali lalai dari mengingatiNya? Tidakkah nurani kita teruja untuk kembali merintih kepada Rabb Yang Maha Pengasih agar salah dan silap baik yang kita nyatakan mahupun yang kita sembunyikan diampuniNya? Andai hati masih belum terusik, renungilah sabda Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam

Dari Abu Musa Abdullah bin Qais al-Asy’ari r radiyallahu ‘anh dari Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam sabdanya: “Sesungguhnya Allah Ta’ala itu membentangkan tanganNya – yakni kerahmatanNya –di waktu malam untuk menerima taubatnya orang yang berbuat kesalahan di waktu siang dan juga membentangkan tanganNya di waktu siang untuk menerima taubatnya orang yang berbuat kesalahan di waktu malam. Demikian ini terus menerus sampai terbitnya matahari dari arah barat – yakni di saat hampir tibanya hari kiamat, kerana setelah ini terjadi, tidak diterima lagi taubatnya seseorang.”(Riwayat Muslim)
Ayuh kita hidangkan jiwa dengan seerah perjalanan hidup Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam agar kita dapat mengutip mutiara hikmah untuk dijadikan ikhtibar.

Menurut Sayyid Qutb dalam tafsir fi zhilalil Quran, ketika masyarakat jahiliyah menerima Islam ketika ditarbiyah oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam, mereka menerima Islam secara keseluruhan dan memisahkan diri mereka dari corak kehidupan yang pernah mereka lalui semasa jahiliyyah. Ajaran Islam meresap ke dalam jiwa mereka sehinggakan mereka merasa takut untuk melalukan sa’i antara Safa dan Marwah kerana perbuatan ini pernah mereka kerjakan pada masa jahiliyah. Rasa berdosa ini menunjukkan bahawa agama Islam yang mereka anuti itu sudah meresap ke dalam jiwa mereka serta menguasai seluruh perasaan mereka sehingga menjelma suatu perubahan yang komprehensif dalam jiwa dan perasaan mereka yang akhirnya menimbulkan perasaan khuatir berdosa terhadap segala perbuatan yang pernah dilakukan pada zaman jahiliyah. Sehinggalah turunnya penjelasan dari Allah:

“Sesungguhnya Safa dan Marwah merupakan sebahagian syiar (agama) Allah. Maka barangsiapa beribadah haji ke Baitullah atau berumrah, tidak ada dosa baginya mengerjakan sa’i antara keduanya”(2:158)

Jelasnya ajaran Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam menjadikan hati dan jiwa mereka tertancap kepada Islam sampai akarnya sehingga di dalam melakukan apa sahaja, mereka takut terjerumus dalam jahiliyah seolah-olah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam menggoncang setiap jiwa mereka sehingga tercabutlah sisa-sisa akar kejahilah dan akhirnya muncul dalam diri mereka kejelasan Islam.

Tambahan Sayyid Qutb lagi, jarang berlaku tindakan jahat yang diancam dengan hukuman Qishah pada zaman nabi dan khalifah Ar-rasyidin. Kalau terjadi tindak kejahatan maka kebanyakan pelakunya datang atas kemahuannya sendiri dengan penuh kesedaran mengakui kesalahannya. Hal ini terjadi kerana dalam hatinya ada taqwa. Mahkamah yang pertama ada dalam hati nuraninya sendiri sehinnga dosanya diakui, menyediakan dirinya untuk dihukum dan bersedia menanggungnya dengan hati yang tegar, demi menebus dirinya dari kemurkaan Allah dan azab akhirat.

Di sini, ingin dikongsi sebuah kisah yang dipetik dari buku Riyadhus Salihin: Taman orang-orang soleh yang ditulis oleh Imam Nawawi (jilid pertama m/s 38) untuk mengukuhkan lagi kenyataan Sayyid Qutb sebentar tadi.

Dari Abu Nujaid iaitu lmran bin Hushain al-Khuza’i radhiallahu ‘anhuma bahwasanya ada seorang wanita dari suku Juhainah mendatangi Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam dan ia sedang hamil kerana perbuatan zina. Kemudian ia berkata: “Ya Rasulullah, saya telah melakukan sesuatu perbuatan yang harus dikenakan hukuman maka tegakkanlah hukuman itu atas diriku.” Nabiullah sallallahu ‘alayhi wa sallam lalu memanggil wali wanita itu lalu bersabda: “Berbuat baiklah kepada wanita ini dan apabila telah melahirkan kandungannya, maka datanglah padaku dengan membawanya.” Wali tersebut melakukan apa yang diperintahkan. Setelah bayinya lahir  lalu Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam memerintahkan untuk memberi hukuman, wanita itu diikatlah pada pakaiannya, kemudian direjam. Selanjutnya Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam menyembahyangi jenazahnya. Umar berkata pada Rasulullah: “Apakah engkau menyembahyangi jenazahnya, ya Rasulullah, sedangkan ia telah berzina?” Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Ia telah benar-benar bertaubat, andaikata taubatnya itu dibagikan kepada tujuh puluh orang dari penduduk Madinah, pasti masih mencukupi. Adakah pernah engkau bertemu seseorang yang lebih utama dari orang yang bersedia mendermakan jiwanya semata-mata kerana mencari keredhaan Allah ‘Azzawajalla.” (Riwayat Muslim)

Marilah kita lakukan muhasabah terhadap diri sendiri. Sedarilah, andai kita lalai dari menghitung serta menyedari aib dan kekurangan diri sendiri, sampai bila pun kita tidak akan memiliki daya pacu untuk bertaubat menginsafi kesalahan sendiri. Adakah kita masih mahu berlengah dalam melakukan pembersihan jiwa? Tidakkah kita khuatiri impian untuk bertaubat akhirnya dipintas maut? Lupakah kita kepada peringatan Allah Taala?

“Dan taubat itu tidaklah (diterima Allah) dari mereka yang melakukan kejahatan hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) dia mengatakan, saya benar-benar bertaubat sekarang. “(4:18)

Usah dibiarkan hati terus bergelumang dengan dosa kerana dikhuatiri hati akan rosak binasa. Hati yang terleka bagai hati yang dibius sehingga tidak lagi peka kepada peringatan, tidak lagi sensitif kepada kebenaran, tidak lagi endah kepada pesanan dan akhirnya seronok dengan kebatilan. Malah lebih parah dari itu adalah apabila dosa yang dilakukan menjadi suatu kebanggaan sehingga tiada lagi aib lalu dipertontonkan untuk tatapan umum.

Usah biarkan jiwa terus dicengkam oleh kesalahan-kesalahan lampau kerana kita masih ada hari ini untuk menjadikan hari-hari yang telah berlalu itu bererti dengan bertaubat.

“Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan kebajikan; maka kejahatan mereka diganti Allah dgn kebaikan. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang” (25:70)

Lalu, jadikan taubat sebagai agenda penting dalam susun atur kehidupan seharian. Semoga Allah mengampuni kesalahan-kesalahan yang telah kita lakukan dan akhirnya sinar kebahagian yang dicari berlabuh kembali. Bahagia bukan hanya di dunia malahan kekal buat selama-lamanya….

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai” (66:8)
 ·  · Share

No comments:

Post a Comment