Sunday 16 October 2011

TIADA SIAL DALAM BULAN SAFAR


TIADA SIAL DALAM BULAN SAFAR

by Rafidah Shaharun on Monday, 17 January 2011 at 21:13
Saya terpanggil untuk mencoretkan sesuatu berkaitan bulan safar.
Erm...satu pagi sedang berjalan menuju ke lif untuk memulakan kerja saya menyapa teman sepejabat...
Bekisar tentang ramai di antara teman sepejabat yang tidak sehat atau lebih tepat sakit, teman yang bersama saya memberi komen "erm..sekarang kan bulan Safar, orang cakap bulan Safar ni bulan sakit, so ramailah yang sakit bulan ni."
Saya hanya senyum sambil menanggukkan kepala. Dalam kepala ligat mencari kepanaran pada penyataannya. Dalam hati terdetik "mungkin kebetolan kot", saya tidak mengambil pusing sangat.
Sehinggalah hari ni lebih tepat malam ini saya benar-benar diuji oleh Allah dengan sedikit ujian kesihatan. Penyataan teman sepejabat tiba-tiba menerpa di kotak fikiran, mula ingin mencari kebenaran tentang Bulan Islam ke 2 ini.

Di sini sedikit info tentang bulan Safar yang mungkin ada antara kita yang tahu atau munkin juga tidak.
Niat saya cuma ingin teman-teman tidak mudah terpedaya atau terima bulat-bulat apa shj berita atau sangkaan buruk tentang bulan Safar ini.

           Safar adalah bulan yang kedua dalam kalendar Islam. Dalam bahasa Arab safar bermaksud kosong. Sudah menjadi kebiasaan orang Arab pada bulan Safar ini, mereka akan meninggalkan rumah dan kampung halaman mereka kosong kerana melaksanakan tugas-tugas penting seperti berperang, menuntut bela kematian saudara mereka, berdagang dan sebagainya.
            Dalam lipatan sejarah Islam, bulan Safar juga mencatatkan berbagai-bagai peristiwa besar dan penting yang sewajarnya menjadi bahan renungan bersama setiap Muslim dalam kehidupan seharian. Di antara peristiwa penting tersebut ialah pernikahan Rasulullah dengan Khadijah binti Khuwailid. Ia berlaku sebelum Nabi dilantik menjadi Rasul. Bulan safar juga menyaksikan kebenaran berperang yang berlaku pada tahun ke-2 Hijrah. Peperangan pertama yang disertai Rasulullah adalah Wudan atau Abwa’ bagi menentang kekufuran.  Seterusnya, peperangan Bi’r Ma’unah juga berlaku pada tahun ke-4 Hijrah, di bawah pimpinan al-Munzir bin ‘Amr As Sa’idi yang ditugaskan untuk berdakwah dan mengajar agama Islam dan al-Quran kepada Bani ‘Amir. Peperangan ini disertai 40 orang sahabat Rasulullah.

            Selain itu, bulan Safar telah mencatatkan tragedi al-Raji’. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-3 Hijrah atau ke-4 H yang melibatkan seramai tujuh sahabat baginda diutus bagi mengajar agama Islam kepada kaum ‘Udal dan al-Qarah, tetapi mereka mengkhianati perutusan itu dengan melakukan serangan hendap di sebuah tempat persinggahan bernama al-Raji’ di daerah ‘Usfan (kawasan antara Makkah dan Madinah). Di antara sahabat menyertai perutusan itu adalah Khubaib bin ‘Adi, Marthad bin Abi Marthad al-Ghanawiy, ‘Asim bin Thabit dan Zaid bin al-Dathanah. Semua sahabat telah dibunuh di tempat serangan kecuali Khubaib bin ‘Adi yang dibawa ke Makkah dan dibunuh di sana. Beliau adalah orang yang pertama menunaikan solat dua rakaat sunat sebelum dibunuh yang kemudiannya menjadi ikutan sunnah.

              Pembukaan Khaibar (kubu orang Yahudi) juga berlaku pada bulan Safar tahun ke-7 Hijrah dengan turut disertai 20 sahabat wanita antaranya Ummu Salamah, Safiyah binti Abd Mutallib dan Ummu Aiman.  Di dalam peperangan tersebut, seramai 15 sahabat gugur syahid manakala pada pihak Yahudi pula seramai 73 orang terbunuh.

             Demikianlah di antara peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Safar dirakamkan oleh para sejarawan untuk dijadikan bahan pengajaran kepada umat Islam. Walaupun begitu, masih kedapatan sebahagian umat Islam terutamanya yang lemah akidah keimanan yang mempercayai kepada sempena baik atau prasangka buruk atau nahas terhadap bulan Safar ini, khususnya pada hari Rabu akhir bulan. Lebih malang lagi, mereka percaya bahawa dalam bulan Safar ini Allah akan menurunkan puluhan ribu bala yang akan menimpa ke atas umat manusia, sedangkan bala sentiasa berada di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja yang dikehendaki Allah.

             Justeru berdasarkan kepercayaan karut tersebut, ada umat Islam yang telah menulis ayat-ayat tersebut iaitu ayat wifiq pada kertas atau pinggan mangkuk yang kemudiannya diletakkan di dalam tempayan atau kolam atau perigi atau seumpamanya untuk diminum atau bermandi manda dengan air tersebut kononnya untuk mendapatkan perlindungan daripada bala buruk pada hari tersebut.

             Perlu ditegaskan bahawa kepercayaan karut yang seumpama itu adalah berpunca daripada amalan atau kepercayaan jahiliah yang amat dilarang Islam. Sehubungan itu, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena (baik atau buruk) melalui burung-burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan tidak ada nahas dalam bulan Safar. Hendaklah setiap daripada kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa yang bengis. (Hadis riwayat Bukhari)

             Maksud hadis Rasulullah jelas menegaskan bahawa jangan sekali-kali umat Islam beriktikad penyakit yang berjangkit boleh memberi kesan dengan sendirinya atau sangkaan sial majal atau nahas bulan Safar itu berupaya memudaratkan kehidupan manusia. Sebaliknya apa juga peristiwa buruk atau baik, berjangkit atau tidak sesuatu penyakit itu kesemuanya adalah dari kekuasaan dan kehendak Allah belaka.

            Dalam masa yang sama, Rasulullah juga berpesan kepada setiap Muslim agar mengambil langkah berwaspada semasa berhadapan dengan sesuatu musibah dengan memerintahkan supaya melarikan diri daripada pesakit kusta dan janganlah menghampiri mereka. Ini bukan bererti bahawa penyakit kusta tersebut boleh berjangkit dan memudaratkan orang ramai, sebaliknya larangan tersebut menyingkap suatu tindakan berjaga-jaga dan berusaha untuk memelihara diri daripada meletakkan diri ke kancah bahaya dan kemusnahan.

              Bukankah Allah telah berfirman yang bermaksud: Belanjakanlah (apa yang ada padakamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan perelokkanlah perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Surah al-Baqarah, ayat 195)

              Berdasarkan keterangan nas-nas tersebut, nyatalah bahawa apa yang dipercayai dan diamalkan oleh sebahagian umat Islam selama ini iaitu kepercayaan bulan Safar adalah bulan nahas atau sial, burung hantu burung sial dan seumpamanya adalah suatu kepercayaan yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam.

             Begitu juga upacara atau pesta mandi laut, bersukaria dengan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batas dan sebagainya kononnya untuk mengelakkan diri daripada bala bulan Safar telah bertukar wajah sebagai pesta menambah dosa dan mencari bala kerana kadang-kadang ada yang mati lemas akibat kelalaian sendiri, malah ada yang tergamak melakukan perbuatan terkutuk di sisi syarak semasa pesta tersebut.

             Selain itu, terdapat  juga orang tua di negara ini yang tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan atau majlis keramaian pada bulan Safar kerana dikhuatiri pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat atau tidak bahagia. Kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah. Dalam keadaan tertentu, ia boleh menyebabkan seseorang menjadi syirik kerana percaya kepada bulan, bukannya pada kuasa Allah.

               Sebenarnya nahas atau bala bencana itu tidak berlaku hanya pada bulan Safar. Kepercayaan karut itu amat jelas ditolak dan dilarang dengan kerasnya oleh Islam. Allah berfirman bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jugalah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah at-Taubah, ayat 51)


*Sumber dari Dr.Engku Ahmad Zaki...

No comments:

Post a Comment