Saturday 8 October 2011

Beriman kepada al-Quran


Beriman kepada al-Quran

by Pertubuhan IKRAM Malaysia on Friday, 28 January 2011 at 18:25
http://www.malaysiaharmoni.com
Kita sedia maklum bahawa beriman kepada kitab-kitab Allah terutamanya al-Quran adalah satu daripada rukun iman. Dan seandainya ada dalam kalangan umat Islam dituduh tidak beriman kepada al-Quran pastinya dia akan melenting dan marah.
Beriman kepada al-Quran adalah satu ungkapan yang senang disebut. Namun hakikatnya sering kali dipandang sepi dan tidak diambil peduli.
Ramai yang menyangka beriman kepada al-Quran cukup dengan tahu membaca beberapa ayat dalam solat, atau cukup dengan dapat membaca secara bertajwid dan bertaranum, atau cukup dengan menyimpan sekurang-kurangnya sebuah mushaf di dalam rumah, atau cukup dengan belajar mengenal huruf dan dapat membaca sekali khatam di hadapan guru yang bertauliah, atau, atau, atau yang hanya merujuk kepada tidak lebih daripada membaca dan menyimpan mushaf.
Beriman bukan sekadar berangan-angan. Al-Quran pernah menempelak orang-orang badwi yang mendakwa beriman, pada hal mereka hanya baru memeluk Islam, iman belum meresap ke dalam hati dan jiwa mereka. Firman Allah taala bermaksud:
“Orang-orang ‘A`raab’ (badwi) berkata: Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: Kami telah Islam, dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun daripada pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Al-Hujurat 49: 14)
Dan Allah menjelaskan hakikat iman yang sebenarnya dalam ayat yang berikut:
“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).”
(Al-Hujurat 49: 15)
Berdasarkan apa yang dijelaskan dalam ayat di atas, kita dapat membuat kesimpulan bahawa ramai dalam kalangan umat Islam hari ini tidak beriman kepada al-Quran dengan sebenar-benar iman. Allah berfirman maksudnya:
“Alif, Laam, Miim, Raa`. Ini ialah ayat-ayat Kitab (al-Quran) dan apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) daripada Tuhanmu adalah benar; tetapi kebanyakan manusia tidak beriman.”
(Ar-Ra’d 13: 1)
Sebagai bukti, kita ambil kes jenayah. Hampir setiap hari, ada sahaja berita-berita jenayah yang berlaku di segenap pelosok tanah air dipaparkan oleh media. Kes rompak, rogol, zina, buang bayi, bunuh, dera anak dan isteri, derhaka kepada kedua ibu bapa bukanlah sesuatu yang asing lagi buat kita rakyat Malaysia. Mengapa perkara ini terjadi dan berlarutan dari tahun ke tahun seolah-olah tidak akan menemui titik noktahnya? Kalau kita kembali kepada al-Quran, kita dapati puncanya ialah meninggalkan dan mengabaikan solat. Bukankah Allah telah berfirman:
ٱتۡلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَـٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ‌ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ‌ۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَڪۡبَرُ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ (٤٥)
Maksudnya: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”
(Al-‘Ankabut 29: 45)
Menurut Islam, solat bukan sekadar agenda individu, malah solat merupakan satu agenda negara yang paling utama yang mesti dilaksanakan oleh pihak pemerintah. Ini dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud:
“… sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”
(Al-Hajj 22: 40-41)
Lantaran itulah perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam setelah tiba di Yathrib ialah mendirikan masjid. Bukan sekadar menjadi mercu tanda untuk dimegah-megahkan tetapi menjadi pusat pengabdian diri kepada Yang Esa menerusi solat dan mentadbir urusan negara dan rakyat. Baginda menjadi imam setiap waktu solat serta memerintahkan seluruh rakyat jelata hadir berjemaah kecuali mereka yang uzur. At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Abu Hurairah radiallahuanhu melaporkan bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam pernah bercita-cita untuk memerintahkan seseorang mengimami solat, sedang baginda pergi membakar orang-orang yang tidak hadir solat berjemaah. Ramai para periwayat melaporkan bahawa sahabat radiallahuanhu berkata, sesiapa yang mendengar azan tetapi tidak menyahut, iaitu tidak datang ke masjid untuk solat, maka tiada solat baginya. Kebanyakan ulama mengulas kata-kata sahabat ini dengan berkata, perkara ini menunjukkan Islam begitu mengambil berat tentang solat berjemaah dan tiada seorang pun diberi rukhsah atau kelonggaran kecuali mereka yang uzur.
Maka langkah pertama untuk membuktikan kita benar-benar beriman kepada al-Quran ialah mencontohi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dengan menjadikan solat sebagai satu agenda negara yang paling utama. Para pemimpin di semua peringkat wajib memulakannya. Mereka mesti menjadi pengunjung masjid yang paling setia setiap kali tiba waktu solat. Bukan mengikut musim atau hanya pada hari-hari tertentu sahaja.

Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

"Ukhuwah Teras Kegemilangan"
"IKRAM Wadah Perjuangan"

No comments:

Post a Comment