Saturday 8 October 2011

Melihat Sesuatu Dari Sudut Yang Berbeza - Jadilah Pensil Yang Terbaik!


Melihat Sesuatu Dari Sudut Yang Berbeza - Jadilah Pensil Yang Terbaik!

by Nisrin Insyirah on Saturday, 22 January 2011 at 16:41

Ada sebuah kisah dan cerita.

Seorang pembuat pensil baru sahaja menyelesaikan tugasnya mencipta sebatang pensil di kilangnya. Tiap-tiap hari, pekerjaannya adalah mencipta dan membuat pencil untuk kegunaan orang ramai.

Pensil yang diciptakannya itu, akan dibuat dengan penuh ketelitian, penuh kesungguhan dan ketekunan. Dia inginkan, pensil itu adalah pensil yang bagus, baik dan terbaik!

Si pensil begitu bersemangat untuk menjalani kehidupannya sebagai sebatang pensil. Ia teruja untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kelak. Berkhidmat sebagai sebatang pensil yang bermutu dan disukai ramai.

Sehinggalah, si pembuat pensil sedang membungkus pensil itu untuk disusun di dalam kotak untuk diedarkan ke pasaran dan ketika itulah, si pembuat penulis memberi nasihat kepada pensil itu.

Katanya : “ Wahai pensil, kamu ingatlah pesanan aku ini agar kamu boleh menjadi pensil yang terbaik.”

“ Pertama, untuk menjadi pensil yang terbaik kamu mesti membenarkan diri kamu untuk berada dalam genggaman seseorang.”

Pensil mendengar dengan penuh khusyuk.

“ Kedua, apabila berlalunya masa kamu akan menjadi tumpul dan ketika itu, kamu perlu bersedia untuk mengalami kesakitan dan kepedihan apabila diasah agar kamu kembali tajam.”

“ Ketiga, bahagian anggota kamu yang paling berharga dan bernilai ialah bahagian dalaman kamu. Bahagian inilah yang akan menentukan berkualitinya diri kamu atau tidak. Karbon dalam diri kamulah yang akan menjadikan kamu pensil yang berkualiti atau sebaliknya.”

Pensil tetap setia mendengar pesanan si pembuatnya.

“ Keempat, kamu juga harus bersedia untuk memadam segala kesilapan-kesilapan yang telah kamu lakukan dengan segera.”

Si pembuat pensil berhenti seketika, sambil merenung tajam kepada pensil.

“ Dan yang terakhir, kamu perlu ingat di atas permukaan apa pun, sama ada lincin, kasar, tidak rata atau sekata kamu perlu meninggalkan kesan dan bekas. Kamu harus melakukan tugas kamu dengan nyata dan jelas sebagai sebatang pencil. Biar pun sukar, kamu mampu melakar dengan baik! ”

Pensil terdiam. Dia membiarkan dirinya dibalut dan dibungkus di dalam kotak. Ketika itu, dia berazam untuk menjadi pensil yang terbaik.

Saya lihat, wajah anda berkerut kehairanan. Betul tak? Saya ingin kongsikan sesuatu dengan anda. Sebuah analogi yang baik untuk sama-sama kita renungi.

Mari kita letakkan diri kita dalam situasi si pensil itu. Jika pensil itu adalah pensil yang terbaik, ia perlu melakukan apa yang telah dipesankan oleh si pembuat kepadanya itu dengan nyata dan bersungguh-sungguh.

Apa kata kita letakkan situasi analogi itu kepada diri kita. Untuk menjadi manusia yang terbaik, kita perlu melihat nasihat dan pesanan si pembuat pensil itu dalam presepsi dan sudut pandang kita sebagai insan, manusia dan hamba.

Manusia yang terbaik

Kita jadikan analogi di atas sebagai panduan dan kita reflekkannya kepada diri kita.

Pertama, untuk menjadi manusia yang terbaik kita perlu berada dalam genggaman Allah SWT. Kita perlu berada dalam naungan dan membenarkan diri untuk meyakini, mengimani, mematuhi dan mentaati-Nya sepenuh jiwa dan hati.

Firman Allah SWT :

“ Katakanlah (Muhammad) : “ Apakah (patut) aku mencari tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi segala sesuatu. Setiap perbuatan dosa seseorang, dirinya sendiri yang bertanggungjawab. Dan seseorang tidak akan memikul beban dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitahujan-Nya kepadamu apa yang kamu dahulu kamu perselisihkan.” [1]

Kedua, untuk menjadi manusia yang hebat dan tabah kita sebagai manusia perlu menahan kepedihan apabila diasah dan diasak dengan ujian-ujian, dugaan dan cabaran yang Allah SWT berikan.

Firman Allah SWT :

“ Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “ Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?” [2]

Ketiga, untuk menjadi manusia yang terbaik – seseorang itu perlu memiliki bahagian dalaman yang terbaik. Apakah bahagian itu?

Ia adalah hati. Hatinya perlu dipenuhi dengan keimanan kepada Allah, ia sentiasa memelihara hubungan dengan Allah SWT dan hati itu ia sangat bersih, jernih, bercahaya dan berkualiti.

Keempat, untuk menjadi manusia yang terbaik – seseorang perlu bersedia memadam segala kesalahan-kesalahannya yang bertentangan dengan syara. Dosa dan maksiatnya harus dihapuskan dengan linangan air mata taubat. Ia perlu sentiasa bertaubat dan memperbaharui taubat.

” Katakanlah, “ Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah SWT. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.” [3]

Dan yang terakhir iaitu yang kelima,

Untuk menjadi manusia yang terbaik, kita perlu menzahirkan amalan kita walau apa pun situasi dan keadaan dengan keikhlasan, keimanan dan keyakinan yang membulat kepada Allah SWT. Manusia yang terbaik, akan memberikan kesan dan pengaruh terhadap suasana di sekelilingnya.

Penutup : Komentar seorang hamba

(1) – Semua manusia berhajat, berkeinginan dan menyimpan hasrat untuk menjadi terbaik. Namun, hanya segelintir sahaja yang bergerak dan bersungguh menuju jalan-jalan yang akan mendekatkannya kepada tangga kejayaan untuk menjadi yang terbaik.

(2) – Pensil dan manusia adalah 2 unsur yang berbeza. Namun analogi diatas mewujudkan persamaan yang sangat mengena. Saya termenung panjang apabila memikirkannya. Syukran kepada sahabat saya, a Faizal Kaze atas perkongsian semalam mengenai kisah di atas.[4]

(3)- Jika kita lihat, untuk menjadi terbaik ia kembali kepada diri kita dan perubahan yang harus kita gerakan. Memang benar, jika ingin kan yang terbaik kita harus melakukan perubahan, untuk melakukan perubahan kita harus berkorban. Pergorbanan itu benar-benar diperlukan untuk menjadi yang terbaik!

____________________

[1] Al-An’am (6) : 164
[2] Al-Ankabut (29) : 2
[3] Az-Zumar (39) : 53
[4] Pertemuan bersama-sama teman 20 Disember 2010

http://brohamzah.blogspot.com

No comments:

Post a Comment