Sunday 16 October 2011

Buku atau Wanita?


Buku atau Wanita?

by Sekadar Perkongsian on Thursday, 27 January 2011 at 11:24
Isu ini bukan satu perkara baru, selalu dibincangkan dan dianalisis oleh pelbagai pihak. Malahan telah pun selamat dijadikan lagu (Tak Tahu Antara Dua – pernah dengar kan?).

Ada pihak yang menyarankan seorang pelajar harus menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang akademik dan pembentukan sahsiah (mencari pengalaman) ketika di universiti atau di pusat-pusat pengajian. Mereka memberikan hujah bahawa peluang untuk belajar di universiti bukan mudah untuk diperolehi, justeru masa yang ada perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Bercinta, menurut mereka, boleh dilakukan selepas belajar. Hujah mereka dikuatkan dengan perumpamaan ‘kalau dah jodoh, tak akan ke mana’ dan pada yang agak ‘Islamic’ membentangkan hadis Rasulullah s.a.w. bahawa ilmu itu harus dituntut sampai ke liang lahad.

Satu pihak lagi tidak bersetuju dengan pendapat di atas. Mereka berhujah bahawa perasaan cinta bukan sesuatu yang boleh dihalang-halang, dan seharusnya dibiarkan untuk mengalir secara semulajadi. Berkenaan hujah yang mengatakan bahawa cinta boleh mengganggu konsentrasi seorang pelajar, mereka menegaskan bahawa seorang pelajar yang rasional tahu membahagikan masa antara pelajaran dan cinta, dan isu ini tak seharusnya timbul. Pelajar yang kemaruk bercinta sehingga mengabaikan pelajaran, menurut pendukung pendapat ini, adalah pelajar yang tidak rasional (err, gila?)
Secara peribadi, saya lebih cenderung kepada pendapat kedua, dengan beberapa pengecualian.

Apa yang menjadi isu adalah apakah cita-cita atau cinta yang perlu diutamakan.

Jawapan saya: Kedua-duanya perlu bergerak seiringan.
Jangan salahkan diri anda apabila anda jatuh cinta dan mempunyai teman lelaki/wanita semasa sedang belajar. Sepatutnya anda bersyukur dan berdoa kepada Allah s.w.t. agar perhubungan itu berkekalan dan dikurniakan sifat saling mempercayai dan ikhlas. Tetapi, apa yang perlu anda tahu adalah bagaimana untuk menjadikan cinta itu sebagai pendorong (catalyst) untuk kita mencapai kejayaan dalam pelajaran. Ini merupakan satu cabaran, dan ramai pasangan muda yang masih belajar gagal dalam cabaran ini.

Saya pernah menyimpan perasaan pada sebahagiaan sahabat-sahabat perempuan ketika di sekolah menengah, tetapi tidaklah sampai ke tahap jatuh cinta. Cuma mengagumi sifat dan sikap mereka.

Seiring dengan peningkatan usia, kita belajar erti tanggungjawab dan komitmen dalam hidup. Pengalaman di sekolah rendah dan menengah banyak mengajar diri kita untuk mengenal yang baik dan buruk, dan memahami komitmen diri masing-masing. Hidup kita bukan untuk diri kita seorang, kita mula mengerti, bahawa kita perlu berkongsi, dan jauh di sudut hati, ada masanya kita perlukan seorang teman berlainan jantina untuk kita berkongsi sebahagian perkara dan perasaan. Perkara-perkara yang tidak boleh dikongsi secara terbuka dengan kawan-kawan kita.

Utamakan cita-citamu, sirami dengan cinta, Insya Allah anda akan berjaya dan bahagia!

No comments:

Post a Comment