Thursday 13 October 2011

Amalkan Agama Dalam Politik, Jauhi Perbuatan Mempergunakan Agama Demi Politik.


Amalkan Agama Dalam Politik, Jauhi Perbuatan Mempergunakan Agama Demi Politik.

by Nisrin Insyirah on Friday, 13 August 2010 at 23:44


Politik itu seumpama BARA. Jika digenggam terlalu erat ia akan melecurkan tangan, tetapi jangan pula ditiup untuk memadamkannya, kerana semakin ditiup semakin marak ia membakar dan membinasakan diri dan persekitaran. Menggunakan perumpamaan bara adalah sesuatu yang praktikal untuk menggambarkan politik. Politik itu kuasa yang mencengkam, kerana itu, jika kita menggenggamnya terlalu erat ia akan membinasakan diri, kerana manusia menjadi alpa dan rakus apabila berkuasa. Apabila itu berlaku, nescaya azab Allah yang sangat pedih menanti.

Tetapi, politik itu tidak boleh dielak dan dipadam dalam kamus kehidupan walaupun untuk seketika dengan alasan kini bukan masa untuk berpolitik kerana ia adalah sebahagian dari aspek kehidupan. Jika diabai dan ditinggalkan politik, maka hancur individu, keluarga dan masyarakat kerana fungsi sebenar politik adalah untuk menjaga keharmonian hidup dan mentadbir masyarakat berteraskan 'aqidah yang tulen dan unggul. Jika dibiar politik dipimpin golongan yang tidak memahami agama, Al-Quran dan Hadith yang wajar menjadi sumber perlembagaan, maka nescaya umat islam akan kembali kepada zaman kehancuran.

Manusia mewujudkan pelbagai falsafah politik dan fahaman masyarakat terhadap politik sangat berbeza-beza. Ada yang menganggap politik dan agama perlu diasingkan untuk menjaga kredibiliti kedua-dua institusi, ada pula yang menganggap politik itu adalah sebahagian dari agama, ada pula yang melihat politik itu sebagai medium menjaga kepentingan bangsa, dan pelbagai lagi perspektif masyarakat. Perbezaan fahaman politik sentiasa menjadikan dunia politik panas dan hangat dengan pelbagai berita dan ragam. Jika ada yang sudah bosan dengan karenah dunia politik yang pelbagai ragam itu, percayalah, sudah sunnatullah, politik itu akan sentiasa bergelora. Kita imbau sejarah dari zaman Rasulullah lagi, politik di Madinah tidak pernah-pernah sunyi dari pelbagai perkara.

Tentangan Quraish, plot-plot jahat orang-orang Yahudi, ancaman kuasa-kuasa besar Rom dan Parsi dan pelbagai lagi mehnah dan tribulasi dunia politik yang menjadikannya bergelora. Di zaman Khulafa' Ar-Rasyidin juga berlaku pekara yang sama, perpecahan politik antara Saidina Ali dan Muawwiyah, wujudnya golongan pemberontak menentang Khalifah Uthman dan di zaman-zaman seterusnya, perkara yang sama berlaku. Maka, jika ada yang muak dan bosan mendengar cerita politik di dada akhbar dan mengharapkannya surut suatu hari nanti, percayalah, perkara itu tidak akan berlaku.

Apabila kejatuhan sistem Khalifah di Turki, gerakan-gerakan Islam tumbuh ibarat cendawan selepas hujan. Ada pula gerakan Islam yang menjadikan politik sebagai medium dakwah, menyebarkan prinsip Islam, meningkatkan tarbiyah, mendaulahkan sebuah Negara Islam. Namun, persepsi masyarakat tidak pernah berubah walaupun setelah hampir seabad gerakan Islam muncul. Golongan gerakan Islam yang berkecimpung dalam politik kerap diabel sebagai golongan politik yang menjadikan agama sebagai modal untuk berpolitik dan untuk menarik masyarakat. Persepsi ini masih sesuatu yang jelas kelihatan apabila kita berbincang dalam konteks negara Malaysia. Gerakan Islam dilihat tidak lebih hanya sebagai satu parti politik yang menjadikan agama sebagai cara untuk memanipulasi pemikiran rakyat untuk menarik sokongan rakyat dalam pilihan raya.

Adapun perkara ini terjadi, mungkinkah persepsi ini dibuat berdasarkan pemikiran, tanggapan dan penilaian masyarakat terhadap perilaku, tindakan dan perbuatan ahli-ahli gerakan Islam sendiri?

Di kala ini, parti-parti politik cuba menggunakan elemen agama untuk menarik minat masyarakat untuk menyokong sesebuah parti. Elemen agama dilihat sebagai satu perkara yang berkesan untuk menarik undi kerana majoriti masyarakat Malaysia adalah beragama islam, maka sebarang perkara yang dikaitkan dengan Islam, akan menjadi batu loncatan buat parti-parti politik. Perkara ini semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini dalam konteks politik Malaysia. Agama hanyalah dijadikan alat, untuk mencapai tujuan politik dalam persaingan untuk mentadbir. Ini berlaku dalam kebanyakan parti-parti di Malaysia jika diteliti dengan lebih mendalam. Sentimen agama menjadi bahan untuk menyerang satu sama lain.

Mengamalkan Agama dalam Politik

Agama bukan satu mainan politik yang boleh diguna sebagai umpan untuk memancing undi. Agama adalah dasar kepada politik. Setiap parti politik yang terdiri dari orang Islam wajib MENGAMALKAN AGAMA DALAM POLITIK, BUKAN MEMPERGUNAKAN AGAMA UNTUK POLITIK. Apabila pemimpin mempergunakan agama untuk kepentingan politik pelbagai perkara buruk akan terjadi. Contoh yang paling ketara adalah ketika zaman Khalifah Uthman, berlakunya fenomena mengada-ada kan hadis Maudu'(hadis Palsu) secara meluas untuk kepentingan politik. Dalam usaha menegakkan pemimpim-pemimpin dari golongan mereka, masyarakat Islam ketika itu sanggup mengada-adakan hadis palsu semata-mata mencapai kepentingan politk mereka.

Maka wujudlah beberapa hadis palsu ciptaan penyokong-penyokong Saidina Ali (golongan syiah) seperti berikut :
"Apabila kamu melihat Muawiyyah atas mimbarku maka bunuhlah akan dia"

Golongan penyokong Muawiyah pula bertindak balas mengada-adakan hadis Palsu jua untuk meningkatkan martabat Muawiyyah
"Orang-orang yang kepercayaan itu 3 orang : aku (Rasulullah), Jibril dan Muawwiyah"

Pelbagai lagi hadis palsu yang dicipta oleh golongan yang pernah ditarbiyah secara langsung oleh Rasulullah dalam usaha mencapai motif politik mereka. Mereka mempergunakan agama demi mencapai tujuan politik, sedangkan Rasulullah telah bersabda:
"Janganlah kamu berdusta atas namaku, kerana bahawasanya barang sesiapa yang berdusta atas namaku, masuklah ia ke dalam neraka"

Sedangkan golongan yang pernah mendapat tarbiyah secara terus dari Rasulullah dibutakan dengan politik yang menjerat. Apatah lagi, masyarakat Malaysia pada hari ini yang sudah lama ditinggalkan Rasulullah. Pemimpin-pemimpin sedaya upaya dan berlumba-lumba memaparkan imej Islamik, yang hanya sedap dipandang mata, namunidiamal tidak. Masjid-nasjid indah bak istana berkaca kristal mempamerkan imej Islamik, namun isinya kosong. Sedangkan sebuah masjid gudang di bumi Cork ini jauh lebih imarah, meriah dan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah masjid. Apabila agama cuma digunakan sebagai alat, institusi masjid sendirinya menjadi lumpuh, kerana ianya hanyalah sebuah perhiasan untuk dijadikan alat memancing undi.

Mengapakah negara-negara Islam mendapat 'pengiktirafan' menduduki tangga tercorot dalam senarai Indeks Persepsi Rasuah? Sedangkan Malaysia mendapat tempat ke-47 dan Negara-negara islam lain mendapat tempat yg entah ke berapa ratus. Malu. Sangat memalukan. Malu untuk mengakui bahawa ajaran Islam itu sangat bersih dari rasuah sedangkan negara-negara majoriti umat Islam bergelumang dengan isu rasuah. Isu rasuah dalam politik dan perniagaan tidak lain dan tidak bukan disebabkan umat Islam tidak mengamalkan agama dalam berpolitik. Sebaliknya hanya menjadikan agama sebagai alasan demi alasan. Umat Islam dicorakkan dengan budaya dan cara hidup mengikut Islam. Jika Islam tidak diamalkan maka inilah yang berlaku. Mungkin kita mempersoalkan mengapa negara-negara yang dipimpin oleh golongan bukan Islam mampu mencegah rasuah dengan lebih baik dari kita yang beragama Islam?

Masyarakat barat hidup tanpa berlandaskan agama, tetapi mereka mempunyai budaya kerja yang bagus, prinsip hidup peribadi yang kukuh dan juga persekitaran yang mencorakkan perlakuan dan tindakan mereka. Umat Islam sekiranya tidak kembali kepada prinsip dan pegangan agama, maka kita tidak ada budaya kerja, prinsip hidup dan persekitaran yang boleh mencorakkan kita untuk standing mereka kerana sejak mula Islam itulah yang membentuk budaya, pemikiran dan perlakuan penganutnya. Sekiranya agama tidak diamalkan, maka pembentukan budaya, pemikiran dan perlakuan umat islam tidak didasari oleh sebrang prinsip yang kukuh, maka syaitan akan mula menyimbah minyak, membakar nafsu yang marak membara.

Matlamat Tidak Menghalalkan Cara

Sejauh mana anda pasti, individu-individu yang mendakwa diri mereka bekerja atas dasar agama, tidak menjadikan agama sebagai alat untuk mereka mencapai objektif mereka? Sejauh mana anda pasti, mereka sebenarnya golongan yang mengamalkan agama dari mempergunakan agama dalam politik? Adakah golongan ini tidak dibutakan dengan agenda politik semata-mata seperti yang berlaku kepada golongan-golongan yang pernah mendapat didikan dan asuhan langsung dari Rasulullah di zaman Khalifah Uthman?

Gerakan Islam, mempunyai prinsip agama yang jelas dan kukuh, namun kadangkala ahlinya sendiri yang terjerat antara agama dan politik lantas menjadikan agama sebagai alasan untuk menyokong tindakan politik mereka. Saya pasti niat ahli-ahli gerakan Islam adalah murni untuk menegakkan Islam, namun kadangkala emosi, persekitaran telah menjerat mereka tanpa disedari lantas mereka sendiri yang sering memperkotak-katikan agama demi mencapai matlamat.

Matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Prinsip Islam perlu ditegakkan atas manhaj yang betul, kerana prinsip yang syumul tidak akan subur melalui manhaj yang salah, dan sebaliknya juga. Prinsip dan dasar yang bertentangan dengan Islam tidak akan subur walaupun dengan manhaj yang betul. Mengambil contoh fenomena wujudnya hadis palsu secara tidak terkawal 40 tahun selepas hijrah, berlaku peristiwa di mana seorang yang bernama Nuh Ibn Abi Maryam telah banyak membuat hadis palsu mengenai kelebihan dan keutamaan surah-surah dalam Al-Quran dengan maksud mengajak dan menggemarkan manusia kepada bacaan Al-Quran.

Dia pernah berkata waktu ditanya kepadanya mengenai perbuatan itu :
"Bahawa saya dapati kebanyakan manusia telah berpaling dari membaca Al-Quran dan mereka amat suka membaca kitab-kitab fiqh mazhab Abu Hanifah. Maka saya membuat hadis-hadis itu untuk menarik perhatian mereka kepada Al-Quran kembali"

Berdasarkan kisah ini, jelas akan matlamat dan niat nya untuk meninggikan Al-Quran, namun manhaj yang digunakan adalah ternyata salah, walaupun Al-Quran yang tiada keraguan padanya yang ingin ditegakkan namun, jika manhajnya salah, maka Allah tidak akan mengizinkannya berlaku.

Perkara yang sama perlu diambil pengajaran oleh individu-individu dalam gerakan Islam. Jangan menjadikan agama sebagai sebuah mainan sedangkan ia perlu diamal dalam berpolitik. Apabila kata-kata nista, caci maki, buruk sangka dan hinaan menghujani mimbar-mimbar ceramah di masjid-masjid, kemudiannya disahut dengan laungan takbir yang bergema, ia sendirinya bertentangan dengan prinsip islam yang penuh hikmah, sentiasa menjaga lidah, sentiasa menyatakan kebenaran, menjauhi prasangka buruk dan menjauhi umpatan, cacian dan celaan yang memalukan. Tidak wajar menggunakan alasan memerangi kezaliman untuk menghalalkan cara untuk menuduh, mencaci, mengumpat dan mencela kerana ia merendahkan akhlak seseorang individu sebagai seorang muslim.

Kebanyakkan individu-individu ini menggunakan gelaran-gelaran melucukan yang menjatuhkan martabat untuk melabel individu-individu lain dengan tujuan menjadi humor dan modal jenaka dalam berceramah. Pada pendapat saya adalah perkara yang tidak wajar dilakukan. Di manakah keperluannya menjatuhkan maruah orang lain semata-mata untuk membuat jenaka?

Amati ceramah-ceramah yang anda hadiri, pasti anda akan sedar, hinaan, celaan dan kutukan ini kebanyakkannya digunakan tidak lebih sebagai modal jenaka. Jika mengambil alasan, Rasulullah juga pernah melabel Amr bin Hisyam yang digelar Kafir Quraish Abu Alhakam (Yang bijaksana) dengan gelaran Abu Jahal (yang Jahil dan Bodoh) untuk menjustifikasi perbuatan tersebut, maka saya kira itu bukanlah perkara yang wajar. Rasulullah melabel dengan cara keras dan tegas sebagai satu cara 'offensive', bukan digunakan sebagai hiburan dan jenaka untuk memeriahkan ceramah-ceramah baginda. Rasulullah juga menggunakannya berdasarkan keperluan sahaja, tidaklah Rasulullah melabel semua musyrikin Mekah yang menentang Baginda dengan seribu satu gelaran seperti amalan individu-individu dalam gerakan Islam hari ini.

Inilah yang cuba saya katakan apabila saya mengajukan persolan berikut di atas. "Mungkinkah persepsi masyararakat ini dibuat berdasarkan pemikiran, tanggapan dan penilaian masyarakat terhadap perilaku, tindakan dan perbuatan ahli-ahli gerakan islam sendiri?".  Masyarakat bijak menilai setiap tindakan ahli politik, lebih-lebih lagi apabila mereka mendakwa sebuah gerakan Islam yang ingin menegakkan prinsip-prinsip islam di muka bumi Allah. Maka perlu lebih berhati-hati. Jangan sampai masyarakat melabel sebagai "Nama jer Ustaz, tapi suka caci maki orang. Islamik sangat la tu. Orang yang tak mengaku ustaz pun tak buat macam tu".

Maka secara automatiknya jatuh Tsiqah (kepercayaan) masyarakat terhadap ahli-ahli gerakan islam. Kredibiliti ulama'-ulama', ustaz-ustaz dan professional-professional gerakan Islam akan dipandang hina hanya kerana tindakan yang segelintir ini. Maka pelbagai tohmahan, fitnah dan celaan akan dilemparkan kepada ulama'-ulama, ustaz-ustaz dan professional gerakan Islam seperti yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini. Masyarakat sudah bosan dengan caci-maki, tuduh-menuduh dalam politik yang kadang kalanya tidak berasas dan sangat kebudak-budakan.

Masyarakat ingin melihat gerakan Islam mengamalkan nilaian agama dalam setiap aspek dan berpolitik mengikut acuan agama, matang serta bijak. Jika politik dicemari dengan caci maki, mana mungkin masyarakat akan berminat untuk mendekati politik. Jika mereka menjauhi politik kerana tindakan tersebut, alangkah malangnya. Tindakan normal manusia yang suka membuat 'generalization' secara automatiknya akan merosakkan imej gerakan Islam kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Untuk meyakinkan rakyat bahawa gerakan Islam benar-benar membawa Islam yang syumul dengan aqidah perjuangan hanya kerana Allah dan Rasul, maka kita perlu MENGAMALKAN AGAMA SECARA MENYELURUH DALAM POLITIK.

Saya berpendapat mimbar ceramah perlu 'dibersihkan' dari cacian dan makian sebaliknya perlu diserikan dengan laungan semangat membakar jihad untuk mengajak manusia memperjuangkan agama. Keyakinan rakyat terhadap gerakan Islam perlu dipupuk melalui tindakan-tindakan ahli-ahlinya yang mengamalkan akhlak Islam dalam berpolitik, ceramah, kehidupan peribadi, sosial dan keseluruhannya. Untuk mengubah persepsi masyarakat, diri sendiri dahulu yang perlu diperbetulkan terlebih dahulu.

Gerakan Islam perlu lebih matang dalam berpolitik dan akhlak Rasulullah dalam berpolitik wajar menjadi contoh sepanjang zaman. Selagi tidak berubah, selagi itu masyarakat akan melabel gerakan Islam hanyalah sebuah parti politik yang menggunakan agama untuk berpolitik dan ustaz-ustaz gerakan Islam adalah tidak lebih dari sekadar pencaci dan pencela yang memanipulasi agama untuk meraih kepentingan politik walaupun ianya sama sekali tidak benar. Mari Amalkan Agama Dalam Politik, Jauhi Perbuatan Mempergunakan Agama Demi Politik.

Sumber: http://www.ataphijau.com/2009/10/14/agama-sebuah-mainan-politik/


No comments:

Post a Comment